Happy Birthday, Mak.
Entri ini khas untuk mak saya.
31.05.1957. Mak dilahirkan ke dunia. Sungguh saya pun tak tau bahawa Rahmah Hassan akan menjadi emak saya 26 tahun kemudiannya.
I was born the eldest. Bapa saya namanya Zaini Noah. Dalam kad pengenalan dia masih menggunakan alamat rumah asalnya kat Jalan Lim Poon tu. Tak tau la dah tukar ke belum. Dah lama tak tengok kad pengenalan ayah.
Mak penah cerita, dulu, masa mak nak pegi Haji (masa tu belum kawin lagi dengan ayah), ayah yang dulu masa tu boyfrennya hantar dia juge ke airport Subang. Ayah tunggu sampai kapal terbang yang mak naik take off sambil melambai-lambai tangan ke arah kapal terbang tersebut. Bila mak balik dari Haji, ayah cerita. Baru mak tahu. Bukannya mak nampak pun ayah lambai masa tu. Masa tu saya tahu, masa muda-muda, ayah saya cam poyo jugak rupanya.
Mak saya tak macam mak-mak orang lain yang belajar tinggi. Mak belajar sampai Darjah 6 je. Sekolah agama sampai Darjah Khas (bagi orang yang bukan asal Johor, sijil Darjah Khas ni laku tau kalau nak jadi cikgu sekolah agama Johor, taraf dia same macam pelajaran Agama SPM, malah lebih lagi). Dulu mak penah tunjuk sijil Darjah Khas dia, besar yang amat! Rasanya tak muat nak masuk file saiz A4. Lepas habis sekolah, mak belajar menjahit kat Pesta. Pastu mak amek upah menjahit. Sampai sekarang mak masih menjahit, tapi limited to family members je. Mak saya sangat terer menjahit. Saya selalu ada intention nak belajar menjahit dari dia, tapi tak penah pun dibuat. Tapi, masa kecik2, time cuti sekolah, saya ada belajar buat cross-stitch, knitting dan patchwork dari mak. Saya berjaya dengan ekselennya dalam bidang cross-stitch dan patchwork, tapi walaupun saya suka selak-selak buku knitting mak, saya masih tak reti-reti nak mengait.
Mak saya pun pandai memasak. Saya rasa, semua mak pandai memasak. Lagi tua seorang mak itu, lagi pandai dia memasak. Mak saya boleh rasa jek ape-ape makanan, pastu dia boleh cube nak masak. Dia juga suke kalau makan sesuatu makanan yang baru dan 2-3 hari lepas tu, mesti masakan tu ada kat atas meja makan. Dia punya semangat nak mencuba tu memang hebat lah. Kadang-kadang jadi, kadang-kadang tak jadi. Tapi sebab saya anak yang baik, saya cakap la semuanya sedap. Masa saya kecik-kecik, sampailah remaja, saya tak penah nak masak. Duduk dapur pun saya tak gemar. Mak kata, mungkin sebab ayah tanam uri saya kat depan umah tok kat Jalan Lim Poon tu. Tiap-tiap tahun, malam sebelum Hari Raya, saya lagi suka tolong ayah lap-lap meja dan kerusi kat ruang tamu dari tolong mak masak kat dapur. Sebab tu sampai sekarang, saya rasa, saya lagi ekselen mengemas umah dari memasak.
Mak saya juga seorang yang ceria dan banyak cakap. Kalau ikut Junior Eysenck Personality Inventory, mak saya jatuh dalam kategori Choleric. Saya juga boleh mengatakan bahawa mak saya adalah seorang drama queen. Selalunya saya kena tapis dulu cerita dia sebab memang ada kemungkinan besar ciri-ciri peng-exaggeration tu wujud. Tapi saya tak kesah. Sebab saya sayang mak saya. Kadang-kadang kelakar jugak kalau saya dan adik saya melayan citer tambahan mak kami tu. Kawan-kawan saya yang rapat juga perasan bahawa mak saya memang terlebih excited kadang-kadang. Kalau mak-mak mereka jenis yang cool saje, mak saya ni bolehlah diibaratkan seperti burung murai yang berkicauan dengan penuh riang-ria.
Suara mak juga sangat kuat. Membuatkan saya tertanya-tanya dulu, kenapalah suara saya tak selantang mak saya. Membuatkan guru-guru di sekolah sampai naik muak menyuruh saya membaca dengan lebih kuat. Pensyarah-pensyarah kat universiti pun sama. Mengikut tafsiran psikologi diri saya sendiri (yang berasaskan cerita-cerita dari mak dan juga makcik-makcik saya dan juga dari sedikit pengalaman pahit yang saya masih ingat), saya asalnya banyak cakap juga. Sama seperti mak saya. Sampaikan orang-orang di sekeliling menyampah dengan sifat saya yang banyak cakap itu. Maka, ada beberapa peristiwa yang tak payah saya ceritakan, yang membuatkan saya menjadi seorang pendiam. Mungkin sebab kecik-kecik lagi saya sudah merasakan rejection kerana berlagak seperti seorang Joyah (perempuan yang banyak cakap). Maka, makin saya membesar, makin saya lebih mirip kepada bapa saya yang berpersonaliti phlegmatic. Dan mungkin juga sebab saya sangat sayang kepada mak saya, saya punya ramai kawan baik yang berpersonaliti choleric. Malah, saya juga mengahwini seorang choleric. Amat jarang orang-orang di persekitaran boleh menyesuaikan diri dengan orang choleric, kecuali orang-orang yang tabah, sabar dan tenang seperti seorang phlegmatic sahaja mampu menyayangi mereka dengan sepenuh hati.
Mak juga seorang yang garang dan suke je nak ikut mood dia sendiri. Dulu, masa kecik-kecik, kalau ayah bad mood, mak pun akan bad mood. Lepas tu semua orang dalam rumah akan bad mood. Bila saya da besar, bila ayah bad mood, mak pun masih bad mood lagi, tapi saya dan adik-adik dah boleh kawal mood masing-masing. Maka, kami masih boleh tersengih-sengih lagi walaupun ribut melanda. Kadang-kadang, lebih extreme lagi, adik lelaki saya (yang dulu salu gaduh dengan saya dan mengaku dia lah abang (anak sulung) dan mengatakan saya ni anak angkat) boleh membuat lawak jenaka dan ketawa sorang-sorang sambil berpuas hati melihat mak dan ayah kami semakin memburukkan mood masing-masing.
Saya rasa, mak saya adalah mak yang paling best (walaupun orang lain kata mak dia juga yang paling best). Sampai sekarang, kalau balik umah je, mak mesti tanya, “besok nak makan ape?” Kalau mak datang umah saya juga, mak akan tanya, “besok nak makan ape?”. Saya sangat suke dengan soalan itu. Malah, suami saya juga sangat suka dengan soalan itu. Mengalahkan kami dapat makan kat restoran mahal dan sedap pulak.
Saya rasa beruntung sebab masih boleh ucapkan selamat hari jadi kat mak saya. Bila kawan-kawan saya yang emak mereka dah kembali ke Maha Esa menyebut ayat-ayat seperti “Saya rindu mak..”, saya rasa sedih juga. Membuatkan saya rasa sejuk dan tenang kalau rasa nak marah-marah sebab mak saya meng-confuse-kan saya ke, ape ke.. Sebab saya masih punya mak.. walaupun mak saya tak belajar tinggi macam mak orang lain. Walaupun mak saya tak pandai speaking handal-handal macam orang lain, mak saya masih boleh mencium saya. Walaupun mak saya tak moden macam mak orang lain, saya masih boleh makan masakan mak, saya masih boleh pakai baju yang dijahit oleh mak saya.
Saya harap, selama nak masuk 27 tahun saya hidup ni, saya pernah membanggakan mak saya. Saya juga harap, saya ada masa lagi untuk lebih membanggakan dan membahagiakan mak saya, dan juga ayah saya.
Semoga mak sentiasa sihat dan panjang umur. Ayah juga..
*Emotional plak dengan entri ni, mungkin sebab dalam beberapa hari lagi, saya juga akan menjadi seorang emak..








